Tiga kali untukmu.

Meski jauh merentas benua, namun teknologi kini yang canggih dan semakin canggih mendekatkan kami.

*******

Butang berwarna merah pada paparan ‘Skype’ ditekan.

Lega rasa hati. Mata yang dikurniakan Allah ini masih dapat melihat dia, wajahnya, senyumannya. Telinga yang dikurniakan Allah ini dapat mendengar suaranya, gelak tawanya. Cuma kadang kala, ‘line’ internet yang agak lemah menyebabkan suara yang kedengaran tersekat-sekat dan terputus. Dan alangkah indahnya jika tangan yang dikurniakan Allah ini dapat memeluk tubuhnya sekarang.

Terkadang, setiap kali menamatkan perbualan antara kami di Skype aku terfikir.
“Adakah ini kali terakhir aku akan bercakap dengannya? Entah aku atau dia yang akan pergi dulu.”

Wajahnya sentiasa manis tersenyum di depan anaknya, langsung tidak menunjukkan sebarang kesedihan atau kepenatan menguruskan keluarga sehari-harian. Walau terkadang, hanya sesekali dia merungut penat mengajar kelas mengaji kanak-kanak dan orang dewasa setiap hari kecuali hari minggu. Hari Sabtu pula gigih ke pasar malam untuk mencari sesuap rezeki dengan menjual dadih yang menjadi kegemaran ramai orang. Aku terkadang turut sama tersenyum bangga jika jualan dadihnya laris.

Buku di depan mata tidak berjaya meraih fokus. Rindu bukan kepalang. Padahal baru sahaja sebentar tadi dapat bergelak tawa bersama walau hanya di alam maya.

*******


وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْناً عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun . Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKulah kembalimu.”

(Surah Luqman : 14)
Ibu, yang mengandungkan kita. 9 bulan 10 hari dalam rahimnya dan itu bukanlah suatu tempoh yang sekejap. Ibu pernah cerita, kadang-kadang rasa macam ‘baby’ tendang dalam perut. Sakit, tapi rasanya seronok. Dia cerita sambil tersenyum.
Ibu, yang melahirkan kita. Dia bersusah payah melahirkan kita sehingga hampir sahaja kehilangan nyawa malah ada ibu yang memilih untuk mengutamakan kita daripada dia ketika melahirkan, asalkan kita selamat melihat dunia.


Ibu, yang menyusukan kita, tidurnya tak berwaktu, sangat gusar ketika sakit menimpa kita, menyuap makanan ke mulut kecil kita, menjadi madrasah pertama buat kita. Dia sering marah ketika kita melakukan perilaku yang tidak baik. Itu pun terkadang kita mudah terasa hati. Padahal semua yang dilakukan oleh dia hanya kerana sayang dan cintanya kepada kita. Sayang yang tidak ternilaikan.

“Jika benar cinta pasti kita mahu ke syurga bersama.” -Hilal Asyraf



Disebabkan itulah dinyatakan dalam sebuah hadith baginda S.A.W. :

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ :يَا رَسُوْلَ اللهِ، مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي؟ قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ، قَالَ أَبُوْكَ

Dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, belia berkata, “Seseorang datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu.‘”

(Hadith Riwayat Al-Bukhari no. 5971 dan Muslim no. 2548)


Sungguh, layaklah seorang ibu untuk mendapat kebaikan tiga kali ganda lebih dibandingkan dengan seorang ayah kerana kesusahan, kelemahan demi kelemahan yang dialami ketika mengandungkan kita, kesakitan demi kesakitan yang dialami ketika melahirkan kita. Namun, saat melihat wajah kita, kesakitan yang dialaminya saat itu seolah-olah hilang. Ibu, wanita hebat yang tiada galang-gantinya di hati ini.

Ibu, ibu, ibu dan abah selamanya di hati. Moga Allah kurniakan kesempatan untuk berbakti kepada ibu, menggembirakan hatinya dan sama-sama memimpin tangan ke syurga. Allahumma ameen.


Jam 13:54 | 11 Mei 2015
Mohammedia, Morocco.

Comments

Popular posts from this blog

Utsman al-Salaliji : Ulama Agung Barat Islam

Bahasa paling susah

Ingatan seorang sahabat