Amanah Seorang Al-Amin

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum w. b. t. buat rakan pena dan pembaca. Semoga kehidupan kalian sentiasa diberkati oleh Allah s. w. t. dan dilimpahkan rahmat oleh-Nya. Bersempena dengan Maulidurrasul 1436H ini, saya telah diamanahkan untuk menulis sebuah catatan mengenai junjungan besar, Rasulullah s. a. w. bertujuan untuk mengenang dan menghayati perjuangan dan akhlak baginda yang tiada tolok bandingnya. Catatan saya kali ini berkisar tentang salah satu sifat wajib bagi rasul yang wajar dijadikan teladan dalam menelusuri kehidupan sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya.

Allah s. w. t. telah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 21:


Maksudnya:
"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari qiyamat, dan dia banyak menyebut Allah."

(Surah Al-Ahzab 33:21)

Umum mengetahui, Rasulullah s. a. w. merupakan utusan terakhir Allah yang diutuskan bersamanya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu Al-Qur'anul Karim. Baginda menggalas tanggungjawab yang besar sebagai penyampai risalah iaitu kalamullah dan juga bertindak sebagai agen pembinaan sahsiah individu, keluarga Muslim dan juga masyarakat Muslim yang seterusnya dapat membina sebuah negara Islam. Hal ini tidak dapat direalisasikan tanpa sikap amanah yang seharusnya ada pada diri seorang pemimpin sama ada pemimpin negara, ketua keluarga, ketua kelas dan yang paling penting pemimpin kepada diri sendiri.

Amanah merupakan perkara yang paling berat yang dinyatakan oleh Al-Imam Al-Ghazali kepada anak-anak muridnya ketika beliau memberikan jawapan kepada soalan berikut. "Apakah perkara yang paling berat di dalam dunia?". Lalu anak-anak muridnya menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawapan yang mereka berikan hampir benar, tetapi kata beliau 'yang paling berat itu adalah memegang amanah.'  Sepertimana Allah telah berfirman di dalam surah Al-Ahzab ayat 72:



Maksudnya:
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh”
(Surah Al Ahzab 33:72).


Apa itu amanah?

Amanah dalam definisi Kamus Dewan Bahasa bermaksud kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang, maka ia menjadi jujur. Amanah secara bahasa berasal daripada perkataan bahasa arab iaitu: أمن- يأمن- أمناyang bermaksud aman atau tidak takut.1Dari sinilah diambil perkataan 'amanah' yang merupakan lawan kepada perkataan 'khianat'. Ia juga dinamakan aman kerana orang akan merasa aman memberikan sesuatu kepada orang yang amanah.

Beberapa orang juga telah mendefinisikan perkataan amanah dengan pelbagai pengertian yang berbeza. Ada yang mengertikan amanah sebagai menjaga barang titipan dan mengembalikannya dalam bentuk yang asal. Menurut terminologi Islam sendiri, amanah bermaksud setiap yang dibebankan kepada manusia daripada Allah seperti kewajipan-kewajipan agama, atau daripada manusia seperti titipan harta sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab At-Tafsir Al-Munir fil `Aqidah wa as-Syari`ah wa al-Akhlaq oleh Al-Imam Wahbah Az-Zuhaily.

Al-Qur'an juga turut memberikan maksud amanah dengan lebih tepat dalam surah an-Nisa' ayat 58:


Maksudnya:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menunaikan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat. "
(Surah An-Nisa' 4:58)


Amanah seorang Muhammad

Muhammad bin Abdullah yang diutus sebagai rahmatan lil `alamin merupakan contoh terbaik sebagai seorang yang dipercayai dan baginda terlebih dahulu digelar 'Al-Amin' oleh masyarakat Arab Quraisy sebelum baginda diangkat menjadi seorang Rasul.

Baginda digelar Al-Aminoleh masyarakat arab kerana perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai dan tidak pernah berbohong. Gelaran Al-Amin terhadap Rasulullah telah menjadi sebati dalam kalangan masyarakat arab sehinggakan panggilan Muhammad tidak digunakan. Sifat amanah yang dimiliki oleh Rasulullah telah menyebabkan Khadijah binti Khuwailid menyerahkan modal yang besar kepada baginda untuk diperniagakan.

Baginda menguruskan perniagaan Khadijah bersama-sama Maisarah, iaitu budak suruhan Khadijah ke negeri Syam. Kemuliaan budi pekerti, sifat amanah, dan kebolehan baginda menjalankan perniagaan telah menarik hati Khadijah untuk terus memberikan modal yang lebih besar kepada baginda. Kebijaksanaan dan kelembutan tutur kata baginda serta kepandaian mengambil hati mereka yang berurus niaga dengan baginda menyebabkan perniagaan tersebut memperoleh keuntungan berlipat ganda. Ketinggian budi pekerti dan kebijaksanaan Nabi Muhammad S.A.W. dalam perniagaan telah menimbulkan perasaan hormat Khadijah terhadap baginda dan akhirnya dengan perantaraan Nafisah binti Manbah, Khadijah telah menawarkan dirinya kepada NAbi Muhammad SAW untuk menjadi tean hidupnya yang halal. Peristiwa berlaku pada ketika baginda berumur 25 tahun dan Khadijah pula berusia 40 tahun.2

Oleh kerana baginda bersifat amanah, baginda juga telah menjadi orang tengah yang telah meredakan pertelingkahan yang berlaku antara ketua-ketua kabilah untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya iaitu di penjuru timur ka’abah. Hajarul Aswad telah terjatuh semasa berlakunya banjir besar melanda Kota Mekah. Pada waktu pertelingkahan berlaku, Abu Umayyah bin Al-Mughirah dari Bani Makhzum telah memberi cadangan agar masalah yang dihadapi ini akan diselesaikan dengan melihat siapakah orang pertama yang memasuki pintu Shafa pada pagi keesokan hari. Orang tersebut ialah Nabi Muhammad SAW dan tatkala mereka melihat baginda ialah orang pertama yang memasuki pintu itu, mereka berkata:

رَضِيْنَا بِالآمِيْنَ
“Kami dapat menerima keputusan Al-Amin”

Mereka menyampaikan kesepakatan yang telah mereka buat kepada baginda. Muhammad tidak mementingkan diri dengan meletakkan Hajarul Aswad secara sendirian, walaupun beliau berhak dengan kesepakatan yang telah dibuat. Beliau memilih untuk menyatukan kabilah-kabilah yang hampir terpecah tersebut. Muhammad bangkit dan meletakkan Hajarul Aswad di atas sebuah kain panjang. Setelah itu, baginda memanggil seluruh ketua kabilah untuk bersama-sama mengangkat Hajarul Aswad ke tempat asalnya. Masing-masing memegang hujung kain tersebut. Kemudian, mereka berjalan menuju ke Ka’bah, lalu mereka berhenti. Nabi Muhammad SAW kemudian mengambil Hajarul Aswad itu dengan kedua tangannya lalu meletakkannya kembali ke tempatnya. Akhirnya, selesailah pertelingkahan yang berlaku antara kabilah-kabilah tersebut dan mereka berpuas hati dengan cara penyelesaian yang sangat bijak itu.

Selain itu, sifat amanahRasulullah juga terang-terangan menafikan tuduhan kaum musyrikin yang menuduh baginda sebagai seorang penipu, pendusta, tukang tenun dan sebagainya. Ketika Rasulullah SAW hendak berhijrah ke Madinah, baginda telah datang menemui Saidina Ali terlebih dahulu dan menyuruhnya tunggu di Mekah buat beberapa ketika selepas baginda berhijrah, agar baginda dapat memulangkan kembali barang-barang dan amanah yang diamanahkan kepada baginda dahulu, kerana penduduk Mekah biasanya, kalau ada sesuatu yang hendak diamanahkan maka Rasulullah SAW menjadi tempat untuk dititipkan amanah, kerana mereka benar-benar percaya akan kejujuran dan sifat amanah baginda. Inilah yang menunjukkan kekufuran mereka terhadap Nabi Muhammad SAW bukanlah kerana sangsi dan syak wasangka mereka terhadap baginda, tetapi kerana bongkak serta takabbur dengan apa yang dibawa oleh baginda, juga kerana takut akan kehilangan kuasa dari tangan mereka.

Amanah itu dituntut setiap saat dan dalam setiap keadaan, kerana sifat ini sememangnya terpuji dalam keadaan apapun. Sedangkan sifat berlawanan dengannya iaitu khianat ialah tercela dalam setiap saatnya dan dalam keadaan apapun. Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda, “jangan engkau khianati orang yang pernah mengkhianatimu”.


أَدِّ الْأَمَانَةَ إِلَى مَنْ ائْتَمَنَكَ وَلَا تَخُنْ مَنْ خَانَك

“Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepadamu dan jangan engkau khianati orang yang pernah mengkhianatimu.”
(HR Imam Ahmad)

Kita memang boleh menuntut hak kita, tetapi janganlah kita membalas dengan melakukan muamalah yang khianat, kerana khianat itu tercela. Berhati-hatilah daripada sifat khianat, takutlah sekiranya kita menjadi salah seorang yang suka berkhianat. Berusahalah untuk menjadi seorang yang amanah dalam setiap keadaan. Amanah kepada Allah, Rasul-Nya, dan hamba-hamba-Nya.

Akhir sekali, ingatlah bahawa sesungguhnya sifat khianat iaitu lawan kepada sifat amanah ialah salah satu tanda orang munafiq sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. :

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَثَ كَذِبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Maksudnya:
“Tanda-tanda orang munafik ada tiga; jika berbicara ia berbohong, jika berjanji ia ingkar, dan jika diberi amanah ia berkhianat.
(Muttafaq Alaihi)

Dalam riwayat lain ditambahkan,

وَإِنْ صَامَ وَصَلَّى وَزَعَمَ أَنَّهُ مُسْلِمٌ
Maksudnya:
“Walaupun ia berpuasa dan solat dan mengaku dirinya muslim.”

Wahai sahabat sekalian,
           
            Marilah kita bersama-sama menjadikan Rasulullah SAW sebagai rol model yang utama dalam menjalani kehidupan kita seharian. Hiasilah diri kita dengan hiasan akhlak mulia sebagaimana contoh yang telah ditunjukkan oleh nabi kita Muhammad SAW. Marilah kita berusaha sedaya upaya kita mengikis sikap buruk sedikit demi sedikit dan akhirnya kita berjaya membuang perangai buruk yang mungkin ada. Marilah kita ingat bahawa ganjaran untuk mereka yang berakhlak mulia amatlah besar. Tidak ruginya berakhlak mulia. Keuntungannya bukan hanya setakat di dunia malah menjangkaui hingga ke akhirat.
           
            Bertakwalah kepada Allah selama kita diberi kesempatan untuk beramal. Dekatkanlah diri kepada-Nya dalam keadaan sendiri atau di tengah keramaian, dalam keadaan sepi atau bersama ramai orang, kerana tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah Ta`ala. Dia mengetahui mata-mata yang berkhianat dan apa yang tersembunyi di dalam hati. Rahsia bagi-Nya adalah sesuatu yang tampak jelas, hal yang tersembunyi tidak ubahnya sesuatu yang nyata bagi Allah. Tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi di sisi-Nya. Tunaikanlah amanah pada tempatnya masing-masing. Mohonlah pertolongan kepada Allah Ta`ala dalam menunaikannya. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik Penolong dan Pelindung.

“Ya Allah, tolonglah kami dalam menunaikan amanah-amanah yang berkaitan dengan hak-hak-Mu, hak-hak Rasul-Mu shallallahu ‘alaihi wa sallam, dan hak-hak hamba-hamba-Mu yang beriman. Ya Allah berilah kami taufik untuk menunaikan amanah. Ajarkanlah kami dalam menunaikan agar sesuai dengan apa yang Engkau redhai. Ya Allah, jadikanlah kami termasuk orang-orang yang amanah.”




Rujukan:

ü  لسان العرب - حرف الألف - أمن- الجزء رقم 1، أبو الفضل جمال الدين محمد بن مكرم ( ابن منظور)  1
ü  الأمانة وأنواعها, http://www.saaid.net/Doat/alrajhi/4.htm
ü  Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti, Terjemahan oleh Ust. Mohd Darus Sanawi, Fiqh Al-Sirah Jilid 1 (Dewan Pustaka Fajar: Cetakan Terbaru Mac 2003) 2
ü  Muhammad Safique, Rasulullah S.A.W. Sebagai Hamba Allah, Pemimpin, Pendakwah, Sahabat, Bapa & Suami(Al-Hidayah: Cetakan pertama 1995)

Comments

Popular posts from this blog

Utsman al-Salaliji : Ulama Agung Barat Islam

Bahasa paling susah

Ingatan seorang sahabat